21 Kakitangan 99 Speedmart Tamat Latihan Peruncitan

November 15, 2022by Editor0

BANGI, 16 April 2021 – Seramai 21 kakitangan 99 Speedmart yang mengikuti latihan peruncitan yang dijalankan dengan kerjasama UKM Pakarunding telah berjaya menamatkan program Latihan dan Pensijilan Peruncitan 99 Speedmart.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah berkata jaringan strategik antara UKM Pakarunding dan 99 Speedmart harus diteruskan dengan penambahbaikan bagi meningkatkan lagi kualiti latihan di masa akan datang.

“Apa yang diharapkan program ini akan menjadi permulaan untuk memberi latihan kepada lebih 2,500 orang kakitangan 99 Speedmart di seluruh cawangan Semenanjung Malaysia dalam tempoh empat ke lima tahun akan datang,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Graduasi Latihan dan Persijilan Profesional 99 Speedmart, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata program latihan dan pensijilan itu membuktikan bahawa jaringan kerjasama antara universiti dengan industi tidak boleh dipisahkan.

“Mungkin ramai yang menganggap tugas sebagai seorang pensyarah universiti hanya tertumpu di dalam kuliah pembelajaran sahaja, tetapi sebaliknya, kepakaran mereka seharusnya menjadi manfaat kepada lebih ramai orang di luar sana,” ujarnya.

Katanya, program latihan itu adalah contoh terbaik menunjukkan peranan warga universiti untuk berkongsi ilmu kepada industri dan orang ramai.

“Saya amat berbangga dan berbesar hati melihat pasukan perunding dalam program ini sudi untuk berkongsi khidmat kepakaran mereka sekaligus menunjukkan UKM adalah salah sebuah institusi pengajian tinggi yang sentiasa bersedia menyumbang kepada pembangunan industri,” katanya.

Beliau berkata UKM amat berbesar hati mengambil kira setiap pandangan dan keperluan industri untuk dijadikan satu bentuk kajian pada masa akan datang.

“Menerusi kajian dan khidmat perundingan sebeginilah, kami di universiti dapat memberi semula kepada lebih ramai orang,” ujarnya.

Prof. Dato’ Dr. Imran Ho berharap agar keberjayaan program tersebut akan membuka lebih banyak peluang untuk UKM melebarluaskan kepakaran yang ada, yang tidak hanya tertumpu dalam bidang peruncitan sahaja, malah turut melibatkan kepakaran yang lain.

Majlis graduasi tersebut turut dihadiri oleh Pengurus Besar 99 Speedmart, Yong Eng Kwang yang turut sama bergraduasi.

Learn more >>

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© 2023 Copyright by UKM PAKARUNDING All rights reserved.